Sunday, April 29, 2018

Rentaka Sekalian Bijasura Edisi Kemaskini







Ini adalah buku Rentaka Sekalian Bijasura cetakan ketiga atau Edisi Kemaskini. Isinya sama saja dengan edisi sebelumnya (kulit buku warna biru) cuma penampilannya dikemaskini.





Alhamdulillah edisi ini juga mendapat sambutan yang amat baik dan pertama kali buku-buku saya diedarkan oleh Bookcafe, anak syarikat penerbit buku berbahasa Melayu antara terbesar di Malaysia, PTS. Juga oleh Gallery Bookstore.




Screenshot di atas menunjukkan buku-buku saya tengah panas, asyik habis sahaja di laman web Bookcafe. Malah ini diakui oleh Bookcafe dan  orang kuat PTS sendiri.





Itu sajalah nak bagitau perkembangan saya, Cik Srikandi sekarang. Lama juga ya sejak saya mula blog sejarah ni sampai sekarang, dekat 10 tahun juga. Terima kasih sokong kerja-kerja saya selama ini.

Sebagai hiburan, ada seorang haters saya begitu seronok bila mengetahui penerbit lama saya, Terfaktab Media menutup operasinya tahun lepas. Teruja benar dia dan kawan-kawan dia dan terlajak konfiden bebeno menyatakan saya sudah 'rest-in-peace'.




Tapi maaf cakapla, saya rileks je ada kat sini malah  keluarkan buku Rentaka Sekalian Bijasura edisi kemaskini lagi! Laku keras pulak tu, mesti dia dan geng dia makin cemburu dan marah dengan keadaan yang tidak memihak kepada mereka ini.



Saya saja letak ikon muka tengah marah hehe menggambarkan haters saya begitu tak puas hati Tuhan tak makbulkan impian mereka supaya saya R.I.P itu.

Okayla, semua tu sekadar hiburan saja. Nanti saya cerita pasal buku baru saya. Apa? Buku baru pulak? Hehe.

~Srikandi
cikgulawa oghang perak.


Tuesday, March 27, 2018

Tasjil Anis Salatin: Ulasan oleh Srikandi





Salam semua.

Kali ini Srikandi ingin mengulas satu naskhah yang mengupas tentang Kesultanan Melaka yang bertajuk Tasjil Anis Salatin: Rahsia Agung Melaka, tulisan Farahana Suhaimi. Siapa Farahana Suhaimi ni? Dalam keterangan di belakang buku ini ada dijelaskan bahawa beliau telah melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana dalam bidang Sejarah, Politik dan Strategi di Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau memiliki minat yang mendalam terhadap kajian sejarah Melayu dan memiliki kepakaran khusus dalam bidang Sejarah Perubatan dan Kesihatan di Negeri-Negeri Selat dan Tanah Melayu amnya, malah merupakan bekas penyelidik kepada Profesor Adnan Nawang dalam kajian berkenaan Za’ba di Arkib Negara Malaysia.

Naskhah ini diterbitkan oleh Patriots Publication dengan cetakan pertama pada Mac 2018. Maknanya masih panas berasap lagi ni ketika ulasan ini ditulis.Anda boleh dapatkannya di (sila KLIK): Patriots Pub

Dalam menjalankan kajian, Farahana Suhaimi telah bekerjasama dengan seseorang yang dipanggil 'Gading Bertuah'. Siapakah Gading Bertuah? Nanti saya selitkan dalam artikel ini tentang siapakah Gading Bertuah ini.


Naskhah ini mengandungi 11 topik utama seperti:

1. Kota Melaka & Penduduk (15 perkara)
2. Waris & Pewaris Melaka (19 perkara)
3. Pembesar & Wilayah Melaka (39 perkara)
4. Melaka & Ekonomi (19 perkara)
5. Melaka & Peperangan (60 perkara)
6. Melaka & Pengangkutan (7 perkara)
7. Melaka & Permainan (5 perkara)
8. Melaka & Rasuah (4 perkara)
9. Melaka & Cinta (6 perkara)
10. Melaka & Undang-undang (2 perkara)
11. Melaka & Islam (21 perkara)


Tanpa membuang masa, mari kita lihat secara sepintas lalu satu-persatu topik utama dalam Tasjil Anis Salatin.


1. Kota Melaka & Penduduk


Bahagian ini banyak menceritakan sisi kekayaan ekonomi dan pengurusan Kota Melaka yang mana lebih terperinci dari apa yang kita dengar selama ini. Contohnya Kota Melaka yang memiliki:

- Pengurusan air bersih
- Tangki-tangki air di setiap rumah
- Sistem pembetungan
- Sistem perparitan terancang

Dijelaskan juga terdapat gudang-gudang perdagangan yang dibina dengan menggunakan bahan kalis api! Di bawah istana Melaka juga terdapat gedung bawah tanah malah boleh dikatakan kemudahan ruangan bawah tanah ini adalah biasa di Kota Melaka.

Nasihat saya kepada pihak yang berautoriti: Buat imbasan dan pemetaan satelit serta buat kajian seterusnya jalankan kerja-kerja ekskavasi tentang perkara ini. Pasti ada ruangan bawah tanah yang masih tertimbus dan mengandungi 1001 rahsia Melaka yang belum disentuh oleh penceroboh Portugis.

Sultan Melaka juga membenarkan penduduk Kota Melaka mengubahsuai rumah. Mereka menjadikan beranda rumah sebagai kedai jualan. Sebagai tambahan, kita selalu dimomokkan dengan rumah-rumah di Kota Melaka semuanya 100% kayu. Realitinya ada rumah yang diperbuat dari batu dan separuh batu separuh kayu selain rumah-rumah yang tidak diperbuat dari batu. Penyakit inferior mampu membuatkan kita buta sejarah. Ingat ni.

Banyak lagi yang disentuh seperti struktur istana Melaka yang memiliki 17 ruang, peti bertatahkan permata, teknologi penyimpanan barangan, polisi hartanah, setiap bangunan penuh dengan harta dan pelbagai lagi fakta yang menakjubkan.

Perkara-perkara ini buat saya terfikir: dengan pengurusan yang bagus, orang Melayu sebenarnya memiliki bakat berdagang yang berada pada kelasnya yang tersendiri. Namun sejarah Melayu penuh dengan perangai hasad dengki sama ada orang Melayu sendiri dan paling utama ialah orang luar yang busuk hati. Jaga-jaga dua golongan haprak ni.




2. Waris & Pewaris Melaka


Bahagian ini banyak menyentuh tentang salasilah Kesultanan Melaka berdasarkan Sulalatus Salatin. Walaupun saya memiliki teori sendiri dalam menafsirkan isi Sulalatus Salatin, namun apa yang dipaparkan dalam bahagian ini masih saya boleh terima sebagai meraikan apa yang ditulis secara literal dalam karya agung tersebut, terutamanya versi yang digunakan hanyalah satu sahaja yakni Sulalatus Salatin versi Krusenstern.

Saya rasa tidak perlu mengulas panjang bab ini. Anda perlu membacanya sendiri untuk menyelami salasilah Kesultanan Melaka serta Kerajaan Singapura Purba.

Satu perkara yang menarik: ada banyak gambarajah salasilah yang memudahkan kita memahami setiap penerangan.


3. Pembesar & Wilayah Melaka

Bahagian ini banyak menyentuh perihal para pembesar atau pentadbir wilayah Melaka dan ini secara tidak langsung kita dapat mengetahui tentang wilayah-wilayah di dalam pengaruh Melaka. 

Antara yang menarik bagi saya ialah protokol payung Kesultanan Melaka. Sebenarnya ia menyimpan makna yang tersendiri dalam psyche orang Melayu. Anda kena membacanya.

Di dalam bahagian ini ada dijelaskan peranan dan watak setiap pembesar malah raja Melaka sendiri dalam sejarah Kesultanan Melaka.  Misalnya kebijaksanaan Tun Perak, kehebatan Hang Tuah, Sultan Muhammad Syah yang memakmurkan Melaka, Tun Telanai yang bijak berdiplomasi dan sebagainya.

Saya tertarik dengan kenyataan bahawa Sultan Mansur Syah memberikan biasiswa kepada para pembesarnya bagi melanjutkan pelajaran dalam pelbagai bidang. Malah terdapat mahkamah yang dikendalikan oleh para syahbandar.

Melaka sebagai sebuah empayar juga dicatatkan memiliki 23 buah negeri dan naungan. Fakta-fakta begini sukar kita baca dalam medium yang lain. Bertuahnya setiap penjelasan diberikan sumbernya dan bukanlah imaginasi atau sembang lebat saja. 







4. Melaka & Ekonomi


Bahagian ini menumpukan kepada produk dagangan Melaka, struktur ekonomi dan berkaitan dengannya. Antara yang menarik ialah pelabuhan Melaka dilawati 60 pedagang dari kerajaan berbeza pada satu-satu masa.

Juga dinyatakan bilakah para pedagang singgah di Melaka seperti musim pedagang Jawa dan pedagang Bengal tiba di pelabuhan Melaka. Juga dinyatakan terdapat 84 jenis bahasa di pelabuhan Melaka dengan bahasa Melayu sebagai bahasa perdagangan utama. Setiap syahbandar biasanya mengetahui beberapa bahasa ini sebagai cara untuk memudahkan urusan perdagangan.

Banyak lagi fakta yang mengujakan menjadikan saya seolah-olah berada di pelabuhan Melaka. Bagi saya sistem perdagangan di pelabuhan Melaka amat maju lebih dari apa yang kita sangkakan. Ia bukan sistem primitif seperti dalam drama-drama pendekar 90-an dahulu tetapi satu suasana korporat yang canggih di zamannya.



5. Melaka & Peperangan


Bahagian ini meliputi peristiwa-peristiwa serangan atau peperangan yang melibatkan Kesultanan Melaka seperti peristiwa serangan Siam, kempen Pahang, kempen Siak dan sebagainya.

Setiap peperangan dijelaskan secara terperinci misalnya dalam kempen ke atas Pahang, tentera Melaka menggunakan 200 buah kapal, manakala kempen ke atas Siak, Melaka menggunakan 60 buah kapal. Terdapat juga kempen ke atas Pasai dan kempen ke atas Manjung.

Kemudian banyak diceritakan tentang situasi serangan pencerobohan Portugis. Terdapat banyak fakta menarik seperti Sultan Melaka yang memiliki 3000 askar diraja berbaju besi dan bersenjata api. Satu fakta yang agak mengejutkan ialah Melaka memiliki gudang teknologi senjata api yang menyimpan bahan-bahan mentah untuk membikin senjata api seperti tembaga, keluli, besi, timah hitam, bijih timah, belerang, ubat bedil, serbuk peluru dan lain-lain bahan, dan ini menerangkan mengapa saki-baki orang Melaka yang berundur mampu membuat penentangan selama 130 tahun dengan membina semula industri kapal perang dan persenjataan. Kesultanan Melaka rupanya tidak hanya mengimport produk tetapi juga mengimport teknologinya sekali dan saya percaya sekiranya Kesultanan Melaka diizinkan wujud sehingga abad ke-18, ia akan menjadi jika tidak sekurang-kurangnya seperti Empayar Turki Uthmaniyyah, ia adalah satu 'negara' yang amat canggih teknologi peperangan dan ekonominya melebihi semua kerajaan di Asia Tenggara.

Satu fakta yang menyedihkan, di sebalik semua teknologi dan persiapan peperangan Kota Melaka yang lengkap, akhirnya kota ini jatuh ke tangan penceroboh Eropah akibat pengkhianatan para pedagang asing yang belot seperti para pedagang Cina yang memberi bantuan kepada tentera Portugis. Semua bantuan ini sebenarnya memberikan kelebihan dari segi logistik dan bantuan strategik kepada Portugis yang sememangnya amat memerlukan kelebihan ini memandangkan pada fasa awal pihak Portugis telah tewas kepada serangan balas dan pertahanan Kota Melaka. Next time berhati-hati dengan orang asing dan jangan pandang rendah kepada kejahanaman yang bakal tiba akibat campurtangan asing.

Siapa yang suka kepada subjek strategi peperangan pasti gemarkan bahagian kelima ini.



6. Melaka & Pengangkutan 


Siapa yang gemar kepada kapal-kapal dan berkait dengannya pasti enjoy baca bahagian ini. Diceritakan pasal kapal yang digunakan oleh sultan memiliki 4 tiang berwarna putih. Saiz tiang juga dicatat. Melaka juga menggunakan pelbagai kapal untuk pelbagai tujuan.

Dicatat bahawa layar kapal Melayu antara teknologi yang maju ketika itu. Dicatat juga nama-nama kapal kenaikan kerabat raja Melaka selain Mendam Berahi. Jong Melaka memiliki 4 lapisan dinding kapal dan terdapat banyak kuda di Kota Melaka sebagai pengangkutan darat walaupun kurang popular di kalangan rakyat kerana pengangkutan air lebih cepat dan efisien memandangkan permukaan mukabumi Melaka yang berbukit-bukau tidak seperti padang steppe contohnya di Mongolia.

Selain itu gajah juga adalah salah satu pengangkutan yang penting malah digunakan dalam peperangan.








 7. Melaka & Permainan


Tadi ada disebutkan tentang kuda. Kuda telah menjadi salah satu aktiviti rekreasi yang popular di kalangan bangsawan dan golongan diraja Melaka. Ini dilambangkan dengan Raja Zainal yang meminati kuda. Malah minatnya terhadap kuda menyebabkan dibina satu ruangan khas untuk kudanya di bilik tidur.

Saya fikir ini adalah satu niche dari sekian banyak tema yang boleh dijadikan ekpresi seni sekitar Kesultanan Melaka. Selama ini kita banyak disempitkan dengan situasi di masa Kesultanan Melaka dengan stereotype yang disetup semasa zaman kolonialisme. Seorang yang obses dengan kuda. Gemar bersiar-siar dengan menunggang kuda di Kota Melaka, dengan segak bertanjak berkeris bagai sambil diperhatikan dengan penuh kagum oleh penduduk kota. Bayangkan situasi ini.

Catur adalah salah satu permainan popular di Kota Melaka.Ya, disana ada tokohnya yakni Tun Pikrama yang disebut sebagai pakar catur Melaka. Ini juga niche yang bagus. Bayangkan situasi Tun Pikrama yang dilakonkan sedang bermain catur dengan pemain dari India atau Cina atau menentang pencabar dari Jawa. Begitu khusyuk dan mendebarkan dan akhirnya beliau menang bergaya dengan menggunakan pelbagai helah yang mengejutkan! Bayangkan ada pertandingan catur atau liga catur satu empayar Melaka.

Ini tidak, profesor sejarah asyik-asyik bebel pasal Hang Buah Hang Tuha Hang Tuhi lah. 'Sasterawan marginal' yang diharapkan mampu memimpin dunia sastera Melayu menggantikan order lama, terlampau pulak menumpu kepada 'kesyiahan' Melaka dan apabila dikritik, ditumpukan pula aspek pembesar Melaka minum arak bagai. Ini semua minda terbantut yang perlu dirawat. Berlambak lagi sedutan yang boleh dijadikan rangkaian trope dan tema seni secara positif dari sejarah Kesultanan Melaka.

waste of time, waste of talent ... wasteful....waste of waste....very very waste of wasteful waste.

Permainan-permainan lain yang dicatatkan adalah seperti congkak, layang-layang dan sepak raga. Saya cadangkan buat kajian tentang sukan air di zaman Kesultanan Melaka. Alangkan pengangkutan air amat popular dengan orang Melayu Melaka sebagai peneraju dunia maritim, takkan takde idea buat sukan air macam lumba perahu dan sebagainya.



8. Melaka & Rasuah


Tajuk ini sepertinya menentang atau janggal atau tidak relevan dengan konsep 'Rahsia Agung Melaka'. Namun sepertimana Sulalatus Salatin yang bagi saya sebuah rekod tempatan yang neutral (tak la sangat ikut tema 'mengagung-agungkan raja' tu) yang mana disebut juga perilaku negatif raja dan para pembesar Melaka, maka mungkin ini diselitkan sebagai menyahut pendirian sebegitu.

Di sini ada disebutkan perihal pedagang yang gemar memberi suapan kepada pegawai Melaka. Vice versa, disebutkan pula pegawai Melaka yang gemar meminta suapan dari para pedagang.

Rasuah juga antara faktor dalaman kejatuhan Melaka. Siapa yang biasa dengan kisah-kisah dari Kesultanan Melaka akan maklum bagaimana Bendahara Tun Mutahir difitnah. Maka timbullah nama-nama seperti Raja Mendeliar dan si Kitul. 

Pada pendapat saya, bendahara juga telah membuat kesilapan apabila menerima pemberian Nayana Sura Dewana yang ketika itu masih memiliki kes berprofil tinggi dengan Raja Mendaliar. Sebab itu sekarang ada polisi tidak boleh menerima sebarang hadiah bagi pegawai awam. Contohnya dipetik dari laman web SPRM:

Pegawai awam tidak boleh menerima atau menerima hadiah dalam apa bentuk sekalipun seperti hamper, Limau Mandarin, Ang Pau dan lain-lain yang ada hubungan dengan tugas rasminya. 
(Rujuk Para 5 PP 3/199, http://www.sprm.gov.my)





 9. Melaka & Cinta


Cerita epik sebuah empayar seperti Kesultanan Melaka tidakkan lengkap sekiranya tiada kisah cinta dan kasih sayang yang mewarnai sejarahnya. Maka bahagian ini berat menceritakan suka duka percintaan dan pengorbanan kasih sayang di dalam watak-watak penting di istana Melaka.

Dicatatkan juga peristiwa peminangan Hang Li Po dan Puteri Gunung Ledang malah kisah peminangan puteri Betara Majapahit yang melibatkan 500 buah kapal dan perahu malah ia diiringi oleh raja dari Jambi, Inderagiri, Tungkal, Palembang dan Lingga. Nampak benar pengaruh Kesultanan Melaka amat besar ketika itu.




10. Melaka & Undang-undang


 Ramai yang tidak tahu bahawa Kesultanan Melaka ada set dokumen undang-undangnya sendiri iaitu
Undang-undang Melaka dan Undang-undang Laut. Mendiang Dr Liaw Yock Fang telah pun mengkaji versi  Bilioteca Apostolica Vaticana (VAT.IND.IV) bagi dokumen perundangan Melaka ini. Malangnya ia telah 'tersembunyi' oleh stigma 'hikayat' semasa zaman kolonialisme yang umumnya memandang rendah atas semua karya, dokumen dan historiografi tempatan.

Jadi siapa yang minat bab perundangan, bahagian ini untuk anda. Semuanya boleh dikatakan amat lengkap sampaikan ada bahagian memadamkan api di kapal selepas digunakan dan jika tidak memadamkan api yang mungkin menyebabkan kebakaran, ada hukuman tertentu dikenakan.

Malah ada disebutkan sesiapa yang duduk di anjung-anjung kapal akan didenda, dimana sekiranya menghadap ke buritan kapal sambil berjuntai kaki akan didenda tujuh kali sebatan dan denda setahil sepeha emas kerana dianggap tidak menghormati nakhoda dan juga penumpang kapal. Malah ada larangan mengacau mata kail orang lain dan jika mata kail terkait badan si pengacau, maka sipengacau akan menjadi milik si tuan kail, atau dengan kata lain menjadi hamba kepada si pengail tadi!

Memang amat terperinci undang-undangnya.

Oh, yang lain-lain... anda kena dapatkan buku ini!



11. Melaka & Islam 


Sebagai sebuah kesultanan Islam, Melaka adalah salah satu faktor utama umat di Nusantara memeluk agama yang mulia ini. Diceritakan bahawa Masjid Raya Melaka dibina dengan batu-batan yang teguh. Nak tau teguh ke tak, perati lakaran tembok kota A Famosa. Jika ada kesempatan ke gerbang A Famosa yang masih bersisa itu, maka batu-batannya boleh dianggap sebagai lambang keteguhan batu yang dipakai untuk membina masjid Melaka kerana Masjid Melaka ini antara sumber utama bahan mentah bagi pembinaan tembok A Famosa.  

 Diceritakan tentang pengislaman Melaka dari inisiatif Pasai. Disebutkan juga terdapat era di mana aliran Syiah hampir mendominasi di Nusantara disebabkan ramainya migrasi pengikut fahaman Syiah dari Asia Barat ke Nusantara akibat tekanan politik. Kemudian aliran Syiah ini semakin menjauhi akidah Islam dan kemudian aliran Sunnah sepenuhnya berjaya memulihkan situasi ini dengan menggantikan ajaran Syiah yang menyeleweng itu. Ini dipengaruhi juga dengan berlakunya perubahan di Asia Barat apabila kerajaan Turki Uthmaniyyah menjadi pentadbir di sana dan berperanan sebagai khilafah umat Islam. Malah ini juga diperkuatkan dengan inisiatif membawa Syeikh Ismail Al-Siddiq yang telah didatangkan khas dari Makkah ke Pasai bagi membasmi fahaman Syiah. Trend dari Pasai ini mempengaruhi Melaka juga dan sultan-sultan Melaka giat mempromosi aliran Sunnah kepada rakyat Melayu di kampung-kampung.

Dicatatkan juga peranan Melaka sebagai pusat pengembangan Islam, pusat dakwah dan pusat intelektual Islam dengan menaja buku-buku berkaitan agama Islam seperti kitab-kitab agama malah sultan membiayai para mubaligh Islam yang berdakwah ke wilayah-wilayah lain di Nusantara seperti di Tanah Minangkabau.





 Kesimpulan



























Bagi saya, buku ini memang menarik perhatian khalayak yang umumnya cenderung ke arah tahap pembacaan yang tidak terlalu berat dengan perbahasan dan maklumat yang terlampau banyak. Ini kerana ia dipersembahkan dengan gaya point-to-point dan perenggan-perenggan pendek seperti anekdot. Anda akan mudah membacanya dari satu perkara ke satu perkara. Setiap perenggan disertakan sumber rujukan disamping muka surat rujukan bacaan di belakang buku. Ada juga disertakan wawancara dengan penulisnya.

Ada seorang profesor sejarah dan pengikutnya yakni seorang pembantu arkib cawangan Pahang yang tidak bersetuju dengan buku seperti ini yang lantas bersegera dicop sebagai mitos dan dongeng. Saya nasihatkan supaya baca dahulu buku ini dan anda akan lihat setiap topik adalah berdasarkan pelbagai sumber yang berkredibiliti dan ia melibatkan rujuksilang dalam dan luarnegara seperti sumber-sumber Portugis sendiri seperti karya Joao de Barros dan tulisan tempatan seperti Pentadbiran Kesultanan Melayu Melaka Kemunculan dan Kegemilangan yang diterbitkan oleh Arkib Negara sendiri. Saya sarankan juga pembantu arkib cawangan Pahang itu yang juga menjalankan bisnes buku sejarah kitar semula (patutlah banyak tugasan arkib terabai kerana tidak fokus kepada amanah bertugas di perkhidmatan awam) supaya bersama-sama menjual buku ini bagi menambah pendapatan keluarga kerana buku ini memang macam goreng pisang panas ketika ini.

Akhir kata majulah sejarah untuk negara.


~Srikandi










*Gading Bertuah? Dia ni lulusan sejarah juga dan orang gomen. Kena dapatkan buku ini dan baca untuk trace siapa dia sebab dia minta saya jangan dedahkan identitinya. Sori tau :)

p/s: Buku baru saya akan keluar nanti. Insya Allah sekitar Pesta Buku KL 2018. Tunggu tau!!

Thursday, August 10, 2017

Rentaka di Pulau Mutiara






Srikandi dah siapkan rentaka-rentaka untuk bekalan ke Pulau Mutiara. Kepada orang-orang Pulau Mutiara dan sekitarnya boleh mendapatkannya sabtu dan ahad ni. Butiran ada di poster yang dilampirkan ni.

Kesedaran sejarah ni, kalau tak hari ni, esok lusa orang kita akan faham. Kalau tak generasi hari ini, ia untuk generasi akan datang...untuk anak cucu kita. Sekurang-kurangnya mereka melawan, jika kelak sejarah bangsa dan keturunan mereka dipalsukan, dibohongi dan dihapuskan.

Jika internet mati, disekat atau dihapuskan... buku ini ada. Buku ada untuk menjadikan mereka keluar dari pemikiran sejarah para arwah penjajah. Keluar dari skema sejarah yang didoktrinkan oleh penulis kerani dan pegawai penjajah. Buku yang akan beritahu kepada anak-anak Melayu bahawa kamu bukan pokok, bukan robot bukan angguk-angguk geleng-geleng. Kamu ada sejarah kamu sendiri dan kamu boleh fight for your rights.

"Orang Jerman jatidiri dia kental macam Panzer. Lepas 'down' teruk, diorang bangkit buat wirtschaftswunder."

(Cik Srikandi 2017)


~Srikandi
Rentaka Sekalian Bijasura

Monday, May 15, 2017

Rentaka Sekalian Bijasura Yang Laku Keras Di Pesta Buku




Sudah lebih seminggu Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2017 meninggalkan para pencinta buku. Banyak kenangan manis dan bermakna sepanjang pesta buku berlangsung. Teristimewa bagi saya sendiri yang mengeluarkan buku Rentaka Sekalian Bijasura (RSB), buku saya yang terbaru.

Alhamdulillah, buku RSB telah lakukeras sepanjang pestabuku. Sebenarnya buku ini hampir-hampir lewat keluar untuk pestabuku kerana senarai judul buku-buku lain yang beratur di kilang cetak pada hari sebelumnya berlangsung pestabuku itu. Namun akhirnya pada pukul 8 malam 28 haribulan April buku tersebut sampai ke reruai penerbit saya. Malam itu juga buku-buku itu direbut dan ada yang memborong sampai 25 buah sekaligus! Malah hari itu RSB terus meroket bestseller di kaunter penerbit saya! Malah buku-buku saya yang lain yakni Emas Para Dapunta & Maharaja (cetakan pertama 2015)  dan Baiduri Segala Permaisuri (2016) juga lakukeras mengikut rapat RSB.

Hari seterusnya, RSB terus berada pada kedudukan pertama selama 10 hari berturut-turut. Pada 6 Mei, buku Emas Para Dapunta & Maharaja telah kehabisan stok.



Buku RSB nampaknya menjadi fenomena di kaunter penerbit saya yang juga mengeluarkan buku-buku yang bermutu dan menepati selera pembaca generasi hari ini. Masyarakat membeli dan berkongsi kegembiraan mereka memiliki buku saya tanpa segan dan silu. Topik sejarah terutama sejarah Melayu bukan lagi sesuatu yang terasing dalam ruanglingkup akademik, sekolah atau lulus periksa sahaja tetapi sesuatu yang bagaikan azimat membantai kelesuan hidup, untuk mengalir sebagai adiwira.









Lebih mengejutkan, hari terakhir pestabuku, RSB telah kehabisan stok! Saya pun tidak menyangka pada awalnya dan apabila para pembaca yang datang pada hari itu bertanyakan kepada saya, ada atau tidak RSB lagi, saya hanya menjawab ya sahaja. Bukan apa, saya ketika itu tidak menyangka buku yang baru panas keluar kilang cetak takkanlah terus out-of-stock. 






Berikut adalah carta 10 hari Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di kaunter penerbit saya.


Carta Bestseller Terfaktab PBAKL 2017




















Masyarakat minat sejarah yang apa, yang bagaimana?



Kejayaan Rentaka Sekalian Bijasura menunjukkan masyarakat gemar membaca sejarah yang mengandungi nilai-nilai kemanusiaan dan memberikan faedah kepada kehidupan mereka. Sejarah yang memberikan suntikan semangat kepada para pembacanya untuk bergerak ke depan, tak kira bagaimana  hitam atau putihnya sejarah itu.

Mana-mana bahagian sejarah yang pilu, sedih dan gelap akan menunjukkan kepada mereka jalan terang bagi menghindarkan ia berlaku dan sebagai obor penyuluh masa depan.

 Mana-mana yang memberitahu tentang kehebatan, kegemilangan, kebijaksanaan dan sebagainya dijadikan bahan api untuk terus maju ke depan dan meraih kejayaan.

Masyarakat tidak ada masa untuk tenggelam di dalam persoalan yang kurang menyentuh kemanusiaan dan kehidupan marhaen mereka seperti bergaduh pasal tarikh-tarikh yang mana betul mana salah atau bergocoh tentang watak-watak di dalam sejarah Melayu yang mana mitos yang mana benar. Bagi mereka itu amat membuang masa dan menyerabutkan kehidupan mereka yang sudah sedia serabut dengan 1001 masalah kehidupan yang perlu diselesaikan. Perkara-perkara itu sepatutnya diselesaikan oleh sesama sejarahwan dan so-called cendekiawan yang mengaji sejarah bertahun-tahun itu.






Mereka memerlukan sejarah yang memberikan mereka pelajaran demi pelajaran untuk menawar masalah kehidupan mereka. Pelajaran sejarah yang benar-benar 'real' dan praktikal di dalam kehidupan mereka. Mereka mendambakan sejarah yang menjana enjin pemerkasaan jatidiri mereka, bukannya repekan-repekan so-called sejarah yang memakihamun keyakinan diri mereka.

Mereka ingin membaca sejarah seperti rakyat di negara-negara maju membaca sejarah. Menjaga sejarah dan memulihara sejarah. Kita selalu terkagum-kagum mengapa rakyat di negara-negara terbabit begitu produktif mengeluarkan filem-filem, novel, karyaseni dan sebagainya yang menyangkut tentang sejarah mereka sehingga berjaya mengeksportnya ke serata dunia. Kita tidak mahu belajar bagaimana mereka memanfaatkan sejarah mereka ke arah hasil yang positif tidak seperti sesetengah dari kita menjadikan sejarah untuk menerbitkan kemurungan, perasaan inferior dan berpenglipurlara sepanjang masa, tanpa ada sedikit pun pelajaran ke arah positif yang mampu diekstrak darinya.

Apapun tahniah kepada yang memiliki buku-buku saya dan terimakasih!

~Srikandi
Rentaka Sekalian Bijasura
  












Monday, April 3, 2017

Buku Baru Akan Terbit : Rentaka Sekalian Bijasura





Salam,

Akhirnya buku terbaru saya hampir keluar menemui para peminat sejarah terutamanya sejarah Melayu. Kini semasa artikel ini ditulis, ia telah memasuki fasa akhir semakan dan menanti untuk dicetak.

Rentaka Sekalian Bijasura, begitulah namanya adalah kumpulan tulisan-tulisan saya tentang sejarah Melayu yang berkait dengan sejarah dunia. Selalu kita melayan sejarah Melayu seperti ia terperuk di dalam tempurung sendiri namun melalui pendekatan saya, kini kita boleh membaca sejarah Melayu bersama-sama sejarah dunia.

Rentaka ialah sejenis meriam mudah alih atau meriam kecil yang terkenal di Nusantara sebelum diceduk konsepnya oleh pihak Belanda dan Sepanyol. Bijasura pula adalah semacam jawatan khas bagi hulubalang istana gaya Kesultanan Melaka yang bertugas sebagai ketua pengiring diraja, tugas-tugas khas (seakan-akan komando atau tentera elit) dan ketua intelijen.

Rentaka Sekalian Bijasura membawa erti rentaka terbaik yang menjadi senjata para bijasura yang semestinya adalah dari lelaki-lelaki terpilih yang bijak dan gagah berani. Senjata yang terbaik mestilah dikurniakan kepada bijasura yang merupakan kedudukan yang berprestij di istana.

Ini video teaser bagi buku Rentaka Sekalian Bijasura.





Rentaka Sekalian Bijasura adalah buku ketiga Srikandi bagi karya sendiri dan keenam keseluruhannya. Konsep buku ini adalah sekitar sikap dan pemikiran sejarah pasca-merdeka. Pemikiran pasca-merdeka ni bahasa mudahnya ialah pemikiran sejarah yang matang, tak dikongkong tapi ia bertujuan jelas untuk memanfaatkan masyarakat yang memiliki sejarah itu.

Buku ini ada satu makalah dalam bidang arkeologi dan dua kertaskerja akademik dalam bidang genetik. Mukadimah oleh ahli-ahli akademik dan para pelajar sejarah. Ia terdiri daripada tulisan-tulisan berkaitan sejarah Melayu dan hubungkaitnya dengan sejarah dunia. Ada segmen pemikiran sejarah pasca-merdeka, manuskrip Melayu, isu-isu di tapak arkeologi di Lembah Lenggong dan Sungai Batu serta perbincangan secara saintifik asal-usul orang Melayu sebagai salah satu dari rumpun Malayo-Polinesia dan Austronesia bersumberkan kajian ahli akademik dalam dan luarnegara.

Walaupun begitu, sebab sejarah ni universal maka pelajaran dari buku ini boleh dicerna oleh sesiapa sahaja tidak kira dia siapa dan apa warna kulit dia.

Buku ini lebih garang jika dibanding dengan sebelumnya. Sesuai dengan namanya, ia penuh dengan kata-kata seruan menaikkan semangat yang saya gelar sebagai "The Battlecry". Sememangnya kita selamanya berada dalam 'peperangan' dan tidak sepatutnya kita mendidik masyarakat supaya merasa bangsat. Sejarah semestinya mendidik kita menjadi berani dan kuat.

Apa pun nantikan kemunculannya nanti di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 28 April 2017 ini.


~Srikandi







Sunday, February 5, 2017

Manuskrip Buku Baru





Saya telah menghantar manuskrip buku terbaru pada penerbit minggu lepas. Jadi tunggulah Pesta Buku Kuala Lumpur nanti buku tu keluar. Kalau ikut perancangan, begitulah.

Jadi masuk ini dah kira hatrik-lah buku-buku saya. Buku-buku saya ni straight-to-the-point. Sejarah Melayu sebagai major. Kadang-kadang kita boleh lihat ada buku-buku ala-ala sejarah tapi dia macam diari peribadi. Sikit-sikit takpelah tapi ini dah macam kita baca luahan perasaan atau kenangan. Campur-aduk kisah-kisah masa kecil dan masalah diri sendiri macam masalah awek dan kerja bertukar-tukar atau 1001 satu memori dimuat masuk. Buku-buku saya tak macam tu, lagi-lagi buku ketiga ini lagi berat dari dua buku sebelum dia. Jadi kalau perasan, buku-buku saya mula dari Emas Para Dapunta & Maharaja konsep dia dari ringan keberat. Format dia pun macam tu. Dari format naratif kemudian format artikel-artikel ilmiah, kemudian ajak pembaca berfikir.

Buku ketiga ni ada sikit-sikit notakaki untuk memudahkan pemahaman dan rujukan disamping berlambak bibliografi belakang dia, yang menjadi rujukan dan rujuksilang saya. Rujukan dan rujuksilang ada beza tau. Kadang-kadang apa yang kita rujuksilang tu, tak semestinya kita ambil pendapat dia. Contoh, saya rujuk silang A dan B. Tapi saya cenderung kepada pendapat A dan menyiarkan rujukan B sebagai bibliografi itu sekadar material untuk rujuksilang sahaja, sebagai bukti subjek itu ada dibincangkan oleh sarjana lain, sebagai contoh.



Memang saya ada latarbelakang bidang sejarah secara akademik, cuma pendekatan saya dalam menyampaikan pelajaran dari sejarah itu sedikit berbeza. Menyampaikan pelajaran dari sejarah dengan hanya berkongsi info-info pasal sejarah ada beza tau. Menyampaikan pelajaran dari sejarah ni kerja sejarahwan sebenar. Ia dah masuk kerja-kerja ahli falsafah sikit. Maksudnya, maklumat dari sejarah itu kita ekstrak dan ambil patinya untuk dirumuskan faedah darinya. Tak kisahlah ia sejarah yang darkside atau sejarah yang buat kita bangga. Tapi tugas pure historian ni ialah ekstrak pelajaran dan pengajaran dari sejarah supaya faedahnya dapat dikecapi oleh masyarakat.

Kalau sejarah itu sejarah yang buat hidung kita kembang kempis, maka kita akan beritahu masyarakat lebih kurang "kalau korang buat macam ni, korang akan dapat faedah macam ni, tengok mereka telah berjaya". Kalau sejarah itu sejarah yang membuatkan kita sedih, marah, geram dan down, maka kita akan nasihatkan begini, "lihat, kalau korang buat begini, korang akan jadi begini...nak jadi macam ni lagi tak?"

Jadi beginilah sejarah berfungsi. Ia sebagai nasihat, ia ibarat ibu yang menggalak dan menegur anaknya.

Kadang-kadang apa yang kita buat dalam bidang kita ini orang marah pada satu ketika, kemudian pada ketika lain, dia pun ikut konsep sejarah yang kita dok perjuangkan. Jadi, kefahaman sejarah ni macam kefahaman agama, maksud saya kejahilan akan berkurang mengikut masa atau usia setelah manusia itu melalui proses-proses kematangan. Jadi, kalau dia tak melalui proses-proses kematangan itu maka ia tetap dalam kejahilan yang bobrok. Kita tak dapat nak tolong orang macam ni.

Dalam buku terbaru saya ni banyak konsep-konsep macam tu. Semua itu saya gelarkan ia sebagai 'battlecry'. Laungan-laungan yang membangkitkan kesedaran dan motivasi.





Tulisan-tulisan saya beroperasi secara online dan offline. Alhamdullillah, kedua-duanya berjaya. Seperti baru-baru ini buku saya termasuk dalam senarai buku terbaik sepanjang tahun lepas (2016), oleh salah satu gergasi penerbitan negara. Buku saya terpilih berdasarkan undian, populariti dan tinjauan dari para pembaca buku seluruh negara.

Adakah apa yang saya dapati ini membuatkan saya mendongak sentiasa? Sudah tentu tidak dan bidang sejarah ini adalah karier dan minat saya sepanjang hidup. Untuk buku terbaru ini, saya bekerjasama dengan beberapa individu bagi memastikan jurang antara tembok akademik itu mampu dirapatkan kepada masyarakat terutama anak-anak muda. Ini adalah antara tugas dan misi saya kini setelah beberapa perbincangan dengan wakil kerajaan dan institusi berkaitan.

Mengapa orang-orang ini percaya kepada saya? SEBAB NILAI DALAM TULISAN DAN PEMIKIRAN SAYA. 

Selalulah bersama saya dalam mengikuti perkembangan seterusnya.

~Srikandi


Wednesday, November 30, 2016

Buku Baru Tahun Depan!








 
Tahun depan insya Allah saya akan keluarkan buku baru.  Objektif untuk memasyarakatkan bidang sejarah tetap diteruskan. Bawa turun ilmu sejarah terutama sejarah Melayu kepada anak-anak muda.

Setakat ini ada dua projek. Satu projek buku memang rutin dengan penerbit saya sebelum ini (yang menerbitkan Emas Para Dapunta & Maharaja serta Baiduri Segala Permaisuri). Namun ada satu lagi projek buku bersama dua orang ahli akademik di mana seorang bertaraf profesor dan seorang lagi bergelar doktor.

Menariknya ahli akademik ini sudah nampak apa sebenarnya yang saya sedang buat :)

Memang sukar orang yang tidak memiliki latarbelakang sejarah dan disiplin ilmu untuk memahami metodologi yang saya cuba terapkan. Terutama sekali mereka yang memang buta sejarah atau hanya facebooker yang melihat sejarah dari pandangan sempit sempadan geografi yang dibuat oleh penjajah. 

Bertuahnya kini masyarakat dan anak-anak muda mula celik dan ingin tahu tentang sejarah mereka. Setiap hari berpuluh-puluh emel dan mesej di media sosial bertanyakan tentang sejarah kepada saya. Saya memohon maaf kepada penanya yang soalannya tidak sempat saya jawab, kadang-kadang bila saya scroll balik ke bawah, memang terdapat soalan-soalan yang saya tidak sempat baca.

Buku terbaru ini saya akan cakupkan dengan maklumat tentang dua tapak arkeologi kita yakni di Lembah Lenggong dan di Sungai Batu. Lembah Lenggong memang terkenal di dalam peta arkeologi dunia sebagai bukti kewujudan manusia yang tertua selepas penemuan di Afrika (rujuk UNESCO). Manakala Tamadun Sungai Batu adalah tamadun tertua di Asia Tenggara.

Kedua maklumat tentang kedua-dua tapak arkeologi ini memang terhad capaiannya di kalangan umum. Saya akan cuba mempopularnya sebaik mungkin mengikut kemampuan yang saya ada. I'm walk the talk. Sememangnya terdapat kelemahan-kelemahan dalam tadbir-urus berkenaan maklumat-maklumat begini untuk sampai ke masyarakat. Saya sudah mengkritik badan-badan terbabit dan pada masa yang sama, saya cuba membantu mana yang patut. Usaha ini sedikit sebanyak menghasilkan kejayaan yang bukanlah setinggi gunung namun dapat mencakar awan. Buku-buku saya yang laris di pasaran dan perkongsian yang memberangsangkan di media sosial, juga indeks ranking tertinggi di dalam enjin carian Google misalnya adalah antara tanda aras usaha-usaha menggunakan media baru dan lama mampu menjana minat dan sifat ingin tahu atau inkuiri di kalangan masyarakat.

Memang saya mempunyai objektif tersendiri dalam bidang sejarah. Memperjuangkan sejarah bukanlah satu retorika sebagaimana sebilangan orang menyembang sejarah, namun nowhere. Mesti ada matlamat, objektif atau sasaran. Pendirian kena kukuh dan mantap. Jika kita takut-takut menyuarakan pendapat dan stand kita, maka lebih baik jangan berumah di tepi pantai jika berjiwa penakut kepada air dan ombak.

Apapun nantikan buah tangan terbaru dari saya.

Majulah sejarah untuk peradaban manusia.


~Srikandi